Alhamdulillah, saya selamat melahirkan Muhammad Hazim bin Mohd Faudzi pada 13 Januari 2012, jam 12.43 pagi hari Jumaat dengan berat 3.4kg. Bagai tak percaya saya melalui fasa yang baru dalam hidup saya sebagai wanita yang dapat melahirkan zuriat. Syukur tak terhingga Allah memberi saya kelebihan ini. Hazim keluar dengan paras rupa yang elok. Matanya yang cantik memandang saya tatkala saya kehabisan tenaga melahirkannya membuatkan rasa sakit saya terus hilang. Terus saya jatuh cinta padanya.
Saya menahan contraction selama 12 jam. Sakitnya bukan kepalang. Mujur Faudzi dan mama saya berada di sisi saya setiap masa hingga saat saya melahirkan. Di kala itu, saya tahu saya tidak boleh bersendirian. Jiwa dan semangat saya sangat lemah. Hati meronta mahu lihat wajah Hazim yang selama ini 9 bulan menemani saya di dalam perut. Tapi saya tak tahan menahan kesakitan.
Sudah pukul 9 pagi, saya belum merasa gesa bersalin. Terus saya ditolak ke labor room. Jam 11 pagi saya dimasukkan ubat induce sebanyak 1 tablet. Jam 12.30 tengahari saya dah mula merasai contraction setiap 10 minit. Doktor kata bukaan saya baru 2cm. Saya menahan sakit tp baru 2cm sahaja. Seksanya..
Jam 5 petang, saya kena induce lagi dan dimasukkan setengah tablet sahaja. 5.30 petang, contraction saya makin kerap menjadi 5 minit sekali. Ya Allah, seksanya saya menahan kesakitan..! Sakit..!!!! Saya menahan kesakitan itu hingga pukul 11 malam, baru lah bukaan saya semakin besar dan bersedia untuk melahirkan Hazim. Faudzi memandang saya dengan wajah yang simpati. Masa itu saya sedar bukan senang mahu mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah. Moga terhapus dosa-dosa saya.
Saya melahirkan Hazim secara normal cuma memerlukan bantuan vacuum. Hazim keluar dan doktor terus meletakkan di atas badan saya. Tapi Hazim tidak menangis. Doktor pakar kanak-kanak sudah bersedia di luar kamar bersalin saya. Leganya hati saya 5 minit kemudian tangisan Hazim kedengaran di luar kamar. Setelah dibersihkan, Hazim diazankan oleh Faudzi dan kemudian dibawa mendekati saya. Saya sempat mencium dan mengusap rambutnya sebelum dia dibawa ke Special Care Nursery (SCN).
Disebabkan air ketuban saya pecah lebih daripada 24 jam, paru-paru Hazim dijangkiti kuman. Dia perlukan bantuan pernafasan. Pilunya hati saya sebagai mama bila lihat Hazim dimasukkan ke dalam incubator dan dipenuhi wayar mencucuk. Sakitnya dia.. Kemudian dijangkiti jaundis pula, tapi tak lama. Sesungguhnya Allah sangat hebat, menjadikan womb saya itu sebagai pelindung sepanjang dia didalam perut saya. Bila sudah tiada, mudah sungguh anak ini dijangkiti walaupun kita manusia yang lemah ini dah berikan ubat dari luar supaya tidak dijangkiti. Apabila Hazim sudah tidak memerlukan bantuan pernafasan, leganya hati saya Allah saja yang tahu.
Setiap malam saya menangis kerana Hazim tiada di sisi saya, tak lena mata saya dibuatnya. Saya berdoa dengan penuh mengharap dan ikhlas meminta pada Allah, tolong sihatkan anak saya kerana saya sangat rindukan dia. Di SCN, saya sentiasa berbisik di telinga Hazim mengatakan saya sangat sayangkan dia dan mahu dia kuat semangat. Berkat doa itu, Hazim cepat 'recover'.. Saya sendiri terperanjat. Mungkinkah ayat "Kuat semangat sayang, kuat semangat ye anak mama dan ayah" yang saya bisikkan padanya membantu? Saya cuma buat atas rasa instinct saya sebagai ibu. Semasa mengandung lagi saya selalu usap perut dan mengatakan Hazim perlu kuat semangat.
Hari ini, esok dan sehingga akhir hayat saya dan Faudzi, bermulalah tanggungjawab baru lagi dalam hidup kami. Memberikan yang terbaik buat Muhammad Hazim dan menjadikan dia lelaki yang beriman, bertakwa dan bertanggungjawab, sesuai dengan makna namanya iaitu Cerdik, Bijak, Cermat dan Tegas. Moga Allah permudahkan.
comelnya dia... congrates mas :)
ReplyDelete