Sunday, October 9, 2011

Pilihan nama-nama yang baik dan cantik

Bagi pendapat Faudzi, biar la nama anak nama itu maksudnya yang tidak berat untuk dipikul kerana panggilan nama ini  ibarat doa yang harus anak itu bawa kelak. Nama-nama indah yang membawa maksud cerdik, pintar, cahaya, menjadi antara pilihan kami. Memandangkan belum scan dan tidak diketahui jantina anak ini, kami perlu merancang nama lelaki dan perempuan. Antara beberapa nama yang menarik perhatian saya:

Auzaie Rusydi (Nama ulama/kecerdikanku)
Auzaie merupakan nama imam mujtahid mutlak. Ia merupakan seorang ulama yang mampu memahami, mentafsir dan mengeluarkan terus hukum-hakam dari al-Quran dan Hadis. Hanya anak yang cerdik dan pintar otaknya sahaja yang mampu mendalami ilmu-ilmu al-Quran.

Amirul Haziq (Ketua/cerdik, pandai )
Dunia memerlukan anak-anak yang mempunyai kecerdikan akal yang tinggi, supaya dapat memimpin orang lain ke arah kebenaran. Sifat ini perlu ada kepada seseorang anak yang bakal menjadi pemimpin untuk menggantikan generasi yang akan pergi.

Bazli Hadif (Kepakaranku/yang punya matlamat)
Pada abad ke-21 ini, kita memang mengharapkan pakar-pakar yang berkualiti tinggi untuk membangunkan negara. Seorang yang menjadi pakar dalam sesuatu bidang pasti akan mencapai kejayaan. Seorang yang pakar sangat arif dan punya matlamat untuk membina masa depannya sendiri.

Danish Danial (Berpengetahuan/bijak/nama nabi)
Anak menjadi seorang yang luas ilmu pengetahuannya dan bijak dalam menangani segala ujian hidup yang penuh dengan liku-liku ini. Danial merupakan nama salah seorang nabi yang pastinya mempunyai akhlak-akhlak yang terpuji dalam dirinya.

Haziq Hawwas (Cerdik/Yang bersemangat)
Anak yang dilahirkan memang sedia cerdik. Ini memudahkan lagi kedua ibu bapa untuk mendidiknya ke arah yang lebih cemerlang dan terbaik. Semangat dalam mengejar kejayaan sentiasa berkobar-kobar dalam diri yang begini.

Imran Ihtisyam (Kehebatan, budi bahasa)
Kehebatan budi bahasa, nampaknya semakin berkurangan di kalangan anak-anak dewasa kini. Nama ini sesuai dipilih, untuk memantapkan budi bahasa yang tinggi di kalangan anak-anak. Sejuk mata ibu bapa yang memandang anak yang menjaga budi bahasanya di hadapan kedua orang tua.

Nabil Najmi (Yang cerdik/bintangku)
Memiliki anak yang cerdik seumpama memiliki sebutir bintang yang bergemerlapan di malam hari. Anak yang cerdik akan memperolehi ilmu-ilmu yang bermanfaat untuk digunakan dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan hidup.

Naim Zuhair (Kesenangan/cemerlang)
Anak yang memiliki nama ini diharapkan menjadi orang yang berada dalam kesenangan dengan apa-apa jua bidang yang diceburinya. Bukan sahaja kesenangan diri yang diharapkan malah diiringi dengan kecemerlangan dalam apa-apa jua bidang yang diusahakan.

Zharfan (Cerdik, pintar, cantik rupanya)
Nama yang mudah tetapi jarang didengar. Namun menampilkan situasi dua dalam satu. Ianya memberikan gambaran seorang anak lelaki yang cerdik. Di samping itu memiliki rupa paras yang cantik. Satu nama yang cukup baik untuk membentuk seorang anak yang berwibawa.

Zawir Zakwan (Ketua,yang cerdik, yang harum)
Semoga anak menjadi seorang ketua dan pemimpin yang cerdik untuk mengharumkan nama ibu bapanya pula.

Aisyah Aqilah / Aisyah Afiqah (Hidup bahagia/ Cerdas, pandai / Sangat berpengetahuan)
Ibu bapa pastinya mengharapkan anak-anak hidup bahagia. Doa yang berpanjangan sentiasa dipanjatkan demi kebahagiaan anak. Pastinya ibu bapa boleh bergembira bila anak-anak kembarnya cerdas dan sangat berpengetahuan. Merekalah yang diharapkan untuk meneruskan perjuangan generasi akan datang. Generasi yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan yang luas, malahan tinggi pula budi pekertinya

Dayana Batrisya (Gagah perkasa/cerdik/pintar)
Seorang yang memiliki nama ini akan menjadi terkenal, berjaya dalam apa bidang yang diceburinya. Hatinya cekal dan gagah dalam membina dan mengejar kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Sifat-sifat baik yang dimilikinya, memudahkan ia membina karisma diri.

Fatin Khadijah (Bijaksana)
Seorang wanita yang terkenal dengan kepintarannya dalam perniagaan. Kaya raya dan berharta, tetapi tidak ada sifat sombong dan angkuh pada dirinya. Wanita yang sangat setia kepada suami. Dia seorang yang mempunyai daya tarikan yang kuat dan seorang yang berpengaruh

Hana Humaira (Rezeki tanpa kepayahan/yang berpipi merah)
Memang ada anak-anak yang rezekinya sentiasa cerah. Selalunya anak yang begini orang kata nasibnya untung dan baik. Ada-ada sahaja yang menyebabkan rezekinya sentiasa ada dan berpanjangan. Anak yang begini hidupnya selalu dipenuhi dengan keriangan dan kekayaan.

Hana Khalilah (Rezeki tanpa kepayahan/kesayangan)
Anak merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada ibu bapa. Didiklah anak dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Hidup yang penuh dengan kasih sayang akan memudahkan anak membina kehidupan yang lebih bahagia dan cemerlang pada masa depannya.

Irdina Ilmuna (Kehormatan kami/pengetahuan kami)
Semoga anak dididik untuk mengejar ilmu pengetahuan yang tinggi. Sebarang kejayaan yang hendak dicapai, ia memerlukan ilmu pengetahuan, apa lagi dalam menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Orang yang berilmu pengetahuan, apa lagi kalau berakhlak, dia akan dihormati oleh orang lain.

Masturina (Yang bijak)
Satu nama yang cukup cantik untuk diberikan kepada anak perempuan. Anak akan hidup secara aktif dan lincah. Ada-ada sahaja pekerjaan yang hendak dilakukan. Sifat kerajinan yang ada pada dirinya, menyebabkan dia mudah untuk menjadi seorang yang berjaya dan berdikari dalam hidupnya

Nisrina Nabihah (Bunga mawar putih/ cerdik, mulia)
Satu gabungan nama yang cukup cantik dan sempurna. Seorang anak perempuan bukanlah hanya diharap pada kecantikannya sahaja, tetapi juga pada akal yang dimilikinya. Bunga mawar putih juga melambangkan kesucian seorang gadis yang sentiasa menjaga maruah diri. Prinsipnya tidak layu sebelum tiba masa dipetik, tersemat kukuh di dalam dirinya.

No comments:

Post a Comment